Jangan berahsia ambil anak angkat
“Mengambil contoh apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, sewaktu baginda mengambil anak angkat iaitu Zaid bin Haritsah sejak zaman jahiliah (pada masa ini amalan pengambilan anak angkat dan dijadikan anak sendiri tersebar luas), Zaid waktu itu seorang anak muda yang ditawan sejak kecil dalam salah satu penyerbuan jahiliah, yang kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam untuk diberikan ibu saudaranya yang bernama Khadijah dan selanjutnya diberikan oleh Khadijah kepada Nabi Muhammad s.a.w sesudah Khadijah berkahwin dengan Rasulullah.
Setelah ayah dan bapa saudara Zaid mengetahui tentang hal tersebut, mereka datang kepada Nabi dan meminta anaknya kembali tetapi Nabi Muhammad s.a.w menyuruh Zaid sendiri yang membuat keputusan. Namun Zaid lebih senang memilih Nabi sebagai ayah daripada ayah dan bapa saudaranya sendiri. Nabi Muhammad mengisytiharkan Zaid sebagai anak angkat baginda di hadapan orang yang ramai pada masa itu.
Maknanya, mengambil anak angkat tidak boleh dengan cara sembunyi atau rahsia sehingga anak itu sendiri tidak mengetahui asal keturunannya kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah dikemudian hari seperti nasab, pewarisan harta pusaka, wali nikah dan sebagainya.
Dari aspek psikologi pula, sudah tentulah anak angkat akan merasa rendah diri berbanding anak kandung melainkan dia satu-satunya anak dalam keluarga, tetapi peranan ibu atau bapa angkat ialah memastikan anak angkat yang dipelihara dibina dengan kasih sayang yang ikhlas seperti pertautan antara ibu dan bapa yang sebenar.
Jangan pula ditatang berlebihan kerana ada juga masalah yang
akan timbul seperti besar kepala, tidak menghormati dan sebagainya, samalah juga seperti anak kandung”.
Prosedur mengambil anak angkat mengikut undang-undang di Malaysia Menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
*Pemohon boleh memohon sama ada melalui surat, faks, telefon, e-mel atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana pemohon bermastautin.
*Pemohon akan diminta mengisi borang permohonan. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan bersama-sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti berikut:
(1) Surat sokongan / pengesahan daripada pegawai perubatan.
(2) Salinan sijil nikah / sijil pendaftaran perkahwinan.
(3) Salinan kad pengenalan pemohon (suami dan isteri).
(4) Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Siapa yang layak mengambil anak angkat?
*Pasangan suami-isteri yang sah, ibu tunggal (ibu tunggal) yang menetap / tinggal di Malaysia.
Bila dan bagaimanakah anak angkat dapat disahkan sebagai anak pelihara mengikut undang-undang?
*Permohonan boleh dibuat dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak dalam penjagaan pemohon. Permohonan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftarkan Notis Pengangkatan. Akta yang digunapakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini adalah merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257).
*Permohonan cara kedua adalah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara dalam penjagaan keluarga pelihara. Bagi keluarga yang beragama Islam permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan sahaja. Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.
Peringatan:
Mengambil anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada seminggu selepas pengambilan dan sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan denda maksimum adalah sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan