2007/10/25

Kempen protes rakyat terhadap kenaikan cukai tanah esok

Helmi Khalid

KUALA KEDAH, 25 Okt (Hrkh) - Hasil kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah dengan Jawatankuasa Khas Semakan Kenaikan Cukai Tanah, Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen mengumpul tandatangan rakyat di Pasar Besar Alor Star, Jalan Lencong Barat, pada 26 Oktober ini (esok).


Menurut Ketua Penerangannya, Ramli Shafie, kempen ini telah dijalankan di beberapa kawasan perumahan dan pada 26 Oktober ini bermula jam 9.00 pagi adalah kemuncak kempen mengumpul tandatangan tersebut dan bakal diserahkan kepada PAS Kedah.

"Kempen ini mendapat respon yang baik, ini adalah tanda bantahan rakyat terhadap kenaikan cukai tanah yang terlalu tinggi selepas Alor Star dinaikkan taraf sebagai Majlis Bandararaya.

"Kenaikan amat melampau, ada yang mencecahkan melebihi 300 peratus dari kadar asal, jadi apabila semua masyarakat menganggap ia adalah satu bebanan, selepas PAS Kedah melancarkan kempen kumpul tandatangan sebagai tanda protes, Pemuda Kuala Kedah memilih pasar besar tersebut sebagai destinasi terakhir kempen," ujar beliau.

Menurutnya, pihaknya akan membuka tiga kaunter di sekitar pasar itu pada 26 Oktober ini iaitu di hadapan pintu masuk utama sebuah pasar raya di pasar berkenaan, berdekatan deretan rumah kedai dan pintu masuk berhampiran gerai santan.

"Kita tidak ada pilihan lain selain membantah, kenaikan boleh dibuat, tetapi bukannya kenai cukai yang membebankan rakyat, padahal khidmat majlis Bandaraya makin buruk setiap hari, kita akan bantah hingga ada satu semakan baru dibuat oleh MBAS selepas ini," sambungnya lagi. - mks.

Tiada ulasan: