Roslan Shahir Tue | Oct 30, 07 | 5:11:27 pm MYT | |
Banyak peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini membayangkan betapa hangatnya situasi politik tempatan dan betapa semakin hampirnya bahang pilihan raya umum. Cepat atau pun lambat ia diisytiharkan, yang jelasnya semua pihak sudah tertumpu ke arah itu. PAS sendiri terus mengerakkan langkahnya bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan, cepat atau pun lambat tarikhnya. Minggu lepas Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pulang ke tanahair setelah berjaya dengan misi beliau di London. Tuan Guru telah menyaman salah sebuah akhbar terbesar di sana iaitu Daily Mirror kerana menerbitkan berita berupa fitnah terhadap beliau dan PAS. Akhbar tersebut akhirnya bersetuju memohon maaf dan mengakui bahawa tokoh al-Qaeda yang mereka maksudkan itu bukannya Tuan Guru (tetapi orang lain) dan Tuan Guru selaku Presiden PAS sememangnya berjuang atas landasan demokrasi dan tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan keganasan. Tuan Guru pulang ke tanahair dengan memungut pamapasan sebanyak RM500,000 dari akhbar berkenaan. Yang pentingnya ia turut merupakan kejayaan moral yang membuka mata dunia dari tokoh PAS itu dan perjuangan parti ini. Sementara itu saya pula berkesempatan menemani Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam majlis meraikan beberapa tetamu dari badan-badan Islam Australia atas anjuran Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia. Rakan sekampus Rombongan itu diketuai Presiden Persekutuan Majlis-majlis Islam Se-Autralia, Haji Ikebal Patel, dan mereka telah menghabiskan beberapa hari di Malaysia. Kebetulan salah seorang Imam dari Masjid Sydney yang menganggotai rombongan itu merupakan rakan sekampus Tuan Guru Presiden dan Ustaz Harun Taib (AJK PAS Pusat) semasa mereka menuntut di Universiti Madinah dahulu. Kesempatan 'engagement' ini telah digunakan untuk menerangkan darihal situasi politik dan demokrasi di Malaysia dan peranan PAS. Rupa-rupanya ramai sahabat-sahabat seagama di Autralia tidak arif akan sepak terajang politik di Malaysia serta kepincangan sistem demokrasinya. Jelas apa yang mereka perolehi dari kami akan mereka gunakan untuk menerangkan di sana nanti tentang bagaimana layanan yang PAS sebagai sebuah gerakan Islam, sebenarnya hadapi di Malaysia. Sesungguhnya kesempatan untuk berjumpa dengan pimpinan PAS itu dipohon sendiri oleh rombongan ini melalui Suruhanjaya Tinggi Australia dan keesokan harinya mereka dijadualkan bertandang ke Kelantan pula dan akan bertemu dengan Tuan Guru MB Kelantan. Demikianlah betapa minatnya badan dan gerakan Islam luar negara tentang PAS di sini sekaligus membuktikan pentingnya peranan PAS sebagai sebuah gerakan Islam dalam negara ini. Sementara itu ramai pihak terus memperkatakan darihal kontroversi video peguam VK Lingam yang didedahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Dari istana sehingga ke Majlis Peguam, kabinet sehingga ke Parlimen, ternyata isu video ini hangat dan saya yakin akan terus membakar lanskap politik tanahair menjelang pilihan raya umum ke-12 ini. Hujung minggu lalu PAS menganjurkan Rumah Terbuka Aidil Fitrinya di Markas Tarbiyah Taman Melewar. Seluruh pimpinan PAS Pusat hadir diketuai Tuan Guru Presiden. Apa yang diperhatikan kehadiran tahun ini jauh lebih besar dari tahun lepas dengan jangkaan sekitar 20,000 orang pengunjung. Saya perhatikan anak-anak muda begitu ramai yang hadir kali ini. Mungkinkah ini petanda lonjakkan sokongan kaum muda terhadap PAS, wallahualam. Pejabat Agung PAS baru-baru ini dikunjungi pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang diketuai Naib Presidennya, R. Sivarasa dan Setiausaha Agung Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memberikan taklimat perkembangan terbaru kes video ini. Majlis berjalan dalam suasana penuh mesra dengan PAS membariskan pimpinan terkanan bermula dari Tuan Guru Presiden sendiri, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Mohd Sabu, Dato' Kamaruddin Jaffar, Mahfuz Omar dan lain-lain dalam taklimat tertutup ini. Kedua-dua pihak bersetuju yang isu penting yang mencabar kewibawaan Badan Kehakiman negara ini perlu diperjelaskan sebaik-baiknya kepada rakyat jelata. Sesungguhnya isu ini kait-mengait dengan banyak kes lain yang jelas telah membuktikan ketempangan sistem keadilan di dalam negara kita. Telus, saksama Rakyat perlu faham bahawa sistem keadilan yang telus dan saksama hanya dapat dibina apabila Institusi Kehakiman itu sendiri dianggotai oleh mereka yang bersih dan berwibawa. Bagaimanapun dalam majlis tersebut, Tuan Guru Presiden telah mengingatkan kedua-dua pihak PAS dan KeADILan agar tidak hanyut dengan gelombang baru ini. Kata beliau, jangan ditenggelamkan gelombang-gelombang yang lain apabila berlaku gelombang ini. Memang kebelakangan ini banyak isu besar yang terdampar di hadapan kita, kesemuanya perlu digarab dan diterangkan kepada rakyat sebaik mungkin. Isu rasuah, pembaziran, kenaikan kos hidup, Tragedi Batu Burok, pendedahan Laporan Ketua Audit Negara dan kini video VK Lingam ini kesemuanya perlu dihidangkan kepada rakyat agar mereka sedar dan segera menuntut perubahan. Masa bagi PAS dan PKR untuk berehat dan bersantai sudah tamat. Sekarang masa untuk bekerja dan meyakinkan rakyat untuk menuntut perubahan. Segala isu dan perbezaan dalaman, jika pun ada, juga sepatutnya telah selesai. Rakyat kini berada di persimpangan, mereka terdesak untuk membuat perubahan. PAS dan KeADILan perlulah bersedia untuk menawarkan alternatif yang meyakinkan buat mereka. Kita robohkan BN yang sudah usang ini dan kita gantikan dengan gabungan dinamik PAS dan KeADILan demi keselamatan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS |
2007/11/03
Episod-episod mendebarkan sebelum pilihan raya umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan